Saturday, November 30, 2013

Resipi Ikan Aya Tumis Santan Ceria

Resipi Ikan Aya Tumis Santan Ceria atau ikan ini juga dikenali sebagai ikan parang, adalah resipi dari pantai timur semenanjung Malaysia.

Bahan-bahannya
3 ekor ikan aya (ikan parang)
7 tangkai cili kering (kalau malas, boleh guna cili boh)
5 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1 inci belacan  
300ml santan
1 cawan air asam jawa
1 batang serai
1/4 kerek nissan (gula melaka)
Garam dan ajinomoto secukup rasa

Cara menyediakannya:
1. Goreng ikan aya/parang sampai masak. Jangan terlalu garing.

2. Kisar cili kering, bawang putih, bawang merah dan belacan  

3. Tumis bahan yang dimesin

4. Air asam jawa dituang ke dalam tumisan. Seterusnya masukkan 1/4 kerek nissan. Tumis lagi sampai naik minyak

5. Masukkan santan. Kacau rata

6. Kemudian masukkan ikan dan serai yang diketuk. Perasakan dengan Garam dan ajinomoto secukup rasa. Tunggu sampai didih

7. Siap dihidangkan dengan nasi, atau nasi dagang atau dengan lemang atau dengan pulut.
SELAMAT MENCUBA

Friday, November 29, 2013

Resipi Lobak Putih Masak Air Ceria

Bahan-bahannya:
3 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
2 biji lobak putih
setangkai daun bawang
setangkai cili merah
2 cawan air rebusan ayam
garam, ajinomoto dan gula secukup rasa
1 sudu teh lada hitam

Cara menyediakannya:
1. Tumis bawang putih dan bawang merah

2. Kemudian masukkan daun bawang dan cili merah

3. Tuangkan air stok air. Kalau malas, boleh guna kiub pati ayam

4. Apabila hampir mendidih, masukkan lobak putih. Kemudian tunggu hingga mendidih. Kemudian renjiskan lada hitam. Tutup api

5. Sayur siap dihidangkan. Untuk wanita lepas bersalin, tak perlu bubuh lada hitam ya..
SELAMAT MENCUBA

Thursday, November 28, 2013

Resipi Sambal Totok Ceria

Bahan-bahannya:
Segenggam ikan bilis
1 biji bawang besar saiz kecil
3 ulas bawang putih
3-5 biji cili api
1 tangkai cili merah
sesudu cuka kurma/epal atau perahan limau nipis

Cara menyediakannya
1. Potong semua bahan

2. Goreng semua bahan dengan minyak yang sedikit sehingga keemasan

3. Masukkan di dalam lesung, tumbuk hingga ikan bilis lumat

4. Tuang cuka kurma/epal atau perahan limau nipis
SELAMAT MENCUBA

Saturday, November 23, 2013

Resipi Rojak Kateh (Rojak Kaki Lembu)

Dah nama Rojak Kateh (Rojak Kaki Lembu), mestilah guna kaki lembu, tak kan guna daging lembu. Keistimewaan makanan tradisional terengganu ini ialah kenyal dan rasa enak kerana gelatin semula jadi yang terdapat di kakinya. Kateh adalah bahasa pantai timur yang bermaksud kaki. Jom cuba

Bahan-bahan:

2-4 batang Kaki lembu
1 keping lidah lembu (opsyen)
2.5 liter air tapis untuk merebus
Gula dan Garam secukup rasa
3 sudu makan Cuka buah
3 sudu makan asam jawa dilarut dengan 1/2 cawan air panas
15 tangkai Cili kering atau 5-7 sudu makan cili giling
1 keping Gula nisan (gula Melaka)
500ml air tapis untuk sos

Cara Membuat:
1. Bersihkan kaki lembu, bakar kaki lembu untuk buang bulunya. Kemudian kikis bahagian yang telah dibakar. Kuku lembu tu kena buang, tinggalkan isinya sahaja. Kemudian, ambil kulit dan isi kakinya. Kita tak guna tulang, hanya ambil kulit, isi dan uratnya sahaja. Pastikan semuanya bersih, bulu dan bekas arang semua harus dibersihkan.

2. Rebus isi tadi ke dalam periuk dengan 2 liter air, api sederhana. Rebus sehingga lembut dan air hampir kering dalam secawan.


3. Tumis cili giling dan larutkan gula melaka. Kemudian masukkan semua bahan dan diakhiri dengan kaki lembu dan lidah lembu. 

4. Siaplah rojak katih kita. 
SELAMAT MENCUBA

Resipi Kek Sifon Ceria

Resipi Kek Sifon Ceria ala-ala marble yang kurang manis, best dimakan waktu petang tanpa kemanisan. Kalau nak manis seperti biasa, cuma tampahkan lagi 200 gram gula kastor.

Bahan A
500 gm tepung gandum
1 sudu teh serbuk penaik
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh pewarna (3-5 warna mengikut kesukaan)
100ml minyak masak
100ml susu sejat
7 biji kuning telur A
secubit garam

Bahan B
7 biji putih telur A
300 gm Gula Kastor
1/2 sudu teh krim tartar

Cara Menyediakannya
1. Sediakan bahan-bahannya

2. Pukul kuning telur bersama minyak masak, garam, serbuk penaik, soda. Kemudian masukkan tepung gandum dan susu dan gaul rata.

2. Pukul putih telur bersama gula dan krim tartar.

3. Satukan semua bahan, kemudian asingkan bahan kepada tiga bekas. Kita masukkan pewarna biru, merah dan hijau.

4. Kemudian kacau sehingga pewarna sebati.

5. Masukkan ke dalam loyang, kita guna periuk kalis lekat jenama IKAN. Bakar selama 20 minit dengan api sederhana. Kalau guna oven, bakar dengan suhu 175'C selama 30-40 minit atau sehingga masak

6. Inilah hasilnya
SELAMAT MENCUBA

Thursday, November 21, 2013

Resipi Makarun Ceria

Resipi Macaroon / Makarun Ceria merupakan jelmaan makanan perancis yang dihasilkan dengan teknik yang luar biasa.
Jom cuba

Bahan-bahannya
2 biji putih telur
80 gram serbuk badam
140 gula aising
sesudu koko (kalau nak warna warni, guna pewarna)

Cara menyediakannya:
1. Campurkan koko, gula dan serbuk kacang badam ke dalam satu bekas dan gaulkan.
Kalau guna pewarna, jangan campur koko ya. Tunggu step ketiga

2. Pukul putih telur sehingga kembang. 

3. Kemudian kisar semua bahan serentak. Bagi yang guna pewarna, asingkan kepada tiga bekas berasingan selepas kisar. Gaulkan bahan

4. Picit adunan ke atas kuali tidak melekat (kita guna jenama IKAN 2). Kalau tak ada kuali ni, guna ketuhar tapi lapikkan dengan kertas minyak atas loyang

5. Ketuk kuali ke atas meja perlahan-lahan sehingga adunan jadi leper. 
Kita tak tunggu sejam, lepas ketuk terus bakar. Guna IKAN 2 api sederhana, selama 10 minit sahaja.
Kalau guna oven, bakar selama 15 minit dengan suhu 140 darjah celcius

6. Untuk hiasan, boleh guna jem. Kita guna mentega kacang bercoklat.
Biskut yang manis ini, jangan buat banyak-banyak, nanti tak habis.
SELAMAT MENCUBA

Wednesday, November 20, 2013

Resipi Kek Coklat Kukus Ganache

sempena hari lahir admin ceria resipi hari ini, Kek Coklat Kukus Ganache menjadi santapan sekeluarga.

Bahan-bahannya:

Bahan A:
1 cawan minyak masak
1/2 cawan susu pekat
1/2 cawan susu cair
1 cawan koko/milo
3 sudu gula
3 biji telur ayam
1/2 sudu teh tartar

Bahan B
1 1/2 cawan Tepung gandum
1 sudu tepung jagung dilarut dengan 4 sudu air
1/2 sudu teh vanilla
1 sudu teh serbuk penaik
1/2 sudu teh soda bikarbonat

Bahan C (Ganache)
300 gram coklat masakan
3 sudu makan buku mentega
1/2 cawan susu cair
1 sudu makan susu pekat

Bahan D (Hiasan)
Hirisan Badam, ceri, strawberi, anggur dll

Cara menyediakannya
1. Masak minyak, serbuk coklat (kita guna milo), susu pekat, susu cair dan gula. Gaul rata sampai sebati. Kemudian sejukkan.

2. Pukul telur dengan krim tartar selama 3 minit (guna blender je). Bila dah kembang, masukkan bahan A tadi bersama telur dan kisar (blender) selama 5 minit.

3. Masukkan Bahan A ke dalam Bahan B. Kacau dengan mixer

4. Kemudian masukkan air tepung jagung

5. Tuangkan vanilla. Kemudian pindahkan adunan ke dalam blender. Kita kisar supaya dapat hasilkan coklat yang betul-betul moist

6. Tuang dalam loyang, tutup dengan plastik wrap. Kukus selama sejam. Dah masak, sejukkan

7. Patahkan coklat masakan

8. Susu cair dan susu pekat digabungkan bersama

9. Masak dengan renehan kembar (double boiler). Bila susu panas sedikit...

10. Masukkan coklat masakan. Masak coklat sampai cair

11. Tutup api, kemudian barulah masukkan mentega. Kacau sehingga larut

12. Simbah ke atas kek, biarkan 15-20 minit

13. Selepas itu taburkan badam atau ceri atau strawberi. Hirisan badam lebih sedap

14. Baki ganache tu boleh tuang sedikit kat pinggan, biar leleh gitu. Kek dah siap untuk dihadap. Best tau
SELAMAT MENCUBA

Saturday, November 16, 2013

Resipi Ayam Katok Mok Ju

Resipi Ayam Katok Mok Ju ialah resipi ayam yang diketuk dan untuk diratah begitu sahaja. Makan dengan nasi pun best juga. Resipi ini datang dari terengganu dan bukan jelmaan resipi Ayam Uncle Bob malah lebih baik dari resipinya. Jom cuba!!!

Bahan-bahannya
1/2 ekor ayam
2 sudu makan serbuk lada hitam
2 sudu makan tepung gandum
1 sudu makan garam
1 biji telur ayam
pengetuk (kita guna lesung je)

Cara Menyediakannya:
1. Sediakan ayam. Ketuk ayam terlebih dahulu terutama sekali yang ada tulang seperti paha, kepak, dada. Kemudian taburkan serbuk lada hitam

2. Taburkan garam dan tepung gandum. Gaul sebati. Peram 10 minit.

3. Panaskan minyak. Pecahkan telur dan gaul ayam tadi

4. Goreng tenggelam minyak (deep fry). Nak hasil goreng yang padu, tutuplah kuali.

5. Apabila sudah masak, keluarkan ayam dan ketuk sekali lagi.

6. Siap dihidang bersama sambal belacan Mok Ju Ceria. Boleh dimakan begitu sahaja.
SELAMAT MENCUBA

Resipi masakan singgah di sini selalu ya