Saturday, June 18, 2016

Tips Tanak Nasi Arab

Tips Tanak Nasi Arab ini saya berikan percuma walaupun saya berniaga boleh dapat beribu-ribu, tetapi ilmu adalah dari Allah. Demikian juga rezeki. Kata nenek saya, walaupun kita bagi ilmu memasak 150% kepada orang lain, tetapi air tangan membezakannya. Itulah kata-kata keramat dari nenek saya dan saya harap kita mula berfikiran lebih maju ke hadapan iaitu, jangan ada rahsia dalam resepi.

Inilah Tips Tanak Nasi Arab tak kiralah kabsah, mandi, maqlubah, biryani, bukhari, palao kabuli (bukan nasi kebuli pahang). Apa sahaja jenis nasi asalkan dari tanah Arab, Tanah Afrika, Tanah Parsi, Tanah Afghanistan dan seumpamanya. Antaranya pemilihan beras basmati yang betul, periuk tekanan, rasa salai, kemasinan dan rempah sup asasi.

1. Pemilihan beras basmati
Tanya kedai Pak Arab beras lubnan untuk nasi Arab. Masalahnya, tidak banyak terdapat kedai Pak Arab. Alternatifnya beras basmati yang sesuai ialah jenis Sella (biasa atau emas) iaitu jenama Bernas Era dan Pusa 1121 Par-boiled (biasa atau emas) jenama Jasmine. Saya biasa menggunakan Beras Sella dari Bernas Era. Kalau jenama lain? Boleh juga, tapi tidak akan sama dengan nasi arab yang pak arab tanak. Mereka menggunakan beras mahal, sebab itulah harga nasi mereka mahal. Kita guna beras murah, jual mahal.. ape kejadah? pastu salahkan kerajaan Malaysia hehehe. Mentaliti!

Bernas Era Sella 1121 dan Jasmin PusaGold 1121 
Di bawah ini pula gambar contoh beras sella yang dibeli di kedai pak arab
 
2. Periuk tekanan (Pressure cooker)
Ini penting bagi menjamin kualiti nasi dari beras basmati, ia akan menjadikan beras benar-benar panjang dan tidak berketul. Biasanya, cara tanak nasi ialah 7 minit api besar tambah 3 minit api kecil bergantung jenis jenama dan jenis periuk tekanan.

3. Rasa Salai (smoke-flavour)
Rasa salai boleh dibuat dengan dua cara sama ada dengan cuka rasa salai dan arang.

a. Cuka rasa salai (smoke flavour atau liquid smoke) boleh didapati di pasaraya (seperti yang Chef Amar jual harga RM25.00 lebih kurang 100ml kalau tak silap). Tetapi saya menggunakan cuka salai ini yang saya beli di kawasan kayu arang Kuala Sepetang di Perak. Ekstrak yang diperolehi dari kayu arang itu boleh dibeli dengan harga RM5.00 sebotol 500ml. Harga yang saya sebut ini ialah harga pada tahun 2014, masih tak habis lagi saya guna. Hanya renjis dua sudu besar ke dalam beras sebelum tanak. Sesuai untuk periuk nasi biasa. Cecair ini juga boleh disapukan ke atas ikan atau ayam atau daging dengan oven/ketuhar/periuk ajaib. Rasanya seperti bakar dengan arang

b. Arang (charcoal) hendaklah dinyalakan terlebih dahulu sehingga berbara. Cara ini untuk periuk tekanan sahaja kerana periuk nasi biasa tidak dapat menyerap asap salai. Semasa tanak nasi pada 3 minit api kecil itu atau setelah masaknya nasi, lepaskan udara termampat periuk tekanan kemudian masukkan arang berbara itu.

4. Kemasinan. Itulah yang anda perlu tahu, nasi arab ditanak masin. Pastikan air sup tanak beras benar-benar masin sebelum anda nyalakan api/elektrik. Masin yang bagaimana ya? Masin yang kita tak boleh menghirup kuahnya sebab masin sangat hehe. Maknanya, kalau 1 liter air tu, bukanlah secubit garam, bukanlah sesudu kecil garam, tetapi 2-3 sudu besar garam. Tak percaya? Cubalah!

5. Rempah Sup Asasi. Rebus dahulu air sup dengan rempah asasi sampai mendapat stok daging/ayam yang benar-benar mantap! Sup yang sedap akan membuatkan nasi arab sedap! Sup yang saya maksudkan bukan sup hirup, tetapi sup yang dijadikan air tanak beras basmati. Semua chef akan berkata, sedikit itu sedap (less is more). Terlalu banyak penambahan rempah sesuka hati membuatkan sup kita rasanya aneh dan pelik. Sebenarnya, sup hendaklah dibuat dengan semuda-mudahnya tanpa ada banyak penambahan rempah sesuka hati. Seperti resipi nasi laham mandi, saya ada memberikan rempah asasi bagi membuat air supnya.


Ok, lima di atas cukup untuk menghasilkan nasi arab yang sedap dan lazat. Masya Allah.. lazeez!
Cuba dulu, lazeez!

Boleh copy paste, tak perlu minta izin tetapi jangan sesekali cakap, resepi ini anda punya dan mengharamkan orang lain copy paste sedangkan anda ceduk dari sini. Saya nak ilmu ini semua orang di Malaysia menguasainya!


2 comments:

  1. Terima kasih kerana banyak berkongsi resepi yang hebat2. Blog ini mmg banyak sgt isi. Semua point form, takda merapu. Cuma sayang saya baru jumpa blog ini sekarang bukan dari awal lagi. Teruskan berkongsi ilmu. Hanya Allah shj dpt membalas jasa kamu.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana mempromosikan produk Bernas Era. Sila hubungi 0340321878 atau 0183154413 . Terima kasih :)

    ReplyDelete

Resipi masakan singgah di sini selalu ya