Thursday, July 21, 2016

Kek Sarang Semut Ceria (Gula Hangus)

Kek Sarang Semut Ceria atau Kek Gula Hangus Ceria juga dikenali Kek Span Gula Hangus suatu masa dahulu, bukanlah cerewet cara membuatnya.

Untuk newbies atau yang baru nak cuba membuatnya, inilah bahan-bahannya:

Gula Karamel
= 1 cawan gula disangai di atas kuali atau periuk
tunggu sampai semuanya menjadi karamel kemudian;
= 1 cawan air panas dituang perlahan-lahan, kemudian;
= masukkan 2 sudu marjerin atau minyak sapi dan gaul sampai marjerin/minyak sapi sebati. Tutup api. Jangan gaul lama-lama

Bahan basah
= 4 biji telur ayam gred B atau 3 biji kalau gred A dipukul sampai kembang dan bukan sampai bertanduk
= 150 ml susu pekat dituang ke dalam telur dan dipukul sampai susu sebati sahaja
= 1 sudu teh vanila kalau tak mahu, tak payah bubuh.

Bahan Kering
= 1 cawan tepung gandum tanpa peluntur (unbleached) disaring bersama
= 1 sudu teh soda bikarbonat dan
= 1/2 sudu teh serbuk penaik

Bergabung...
1. Tuangkan bahan basah sedikit demi sedikit ke atas bahan kering, gaulkan. Ini untuk mengelakkan ianya berketul

2. Selepas itu, tuangkan adunan ini ke dalam gula karamel kita tadi. Gaul sebati.

3. Griskan loyang, kemudian tuangkan adunan berkaramel tadi ke dalam loyang yang hendak dibakar. Peram sekurang-kurangnya sejam setengah, lebih cantik kalau 3 jam ke atas.

4. Panaskan ketuhar selama 10 minit dan masukkan adunan tadi. Bahagian atas loyang dibalut kerajang aluminium. Cara bakar;

= Jika guna ketuhar api gas, 160 darjah sentigred selama setengah jam memadai.
= jika kukus, kukuslah selama 30 minit. Air pengukus hendaklah seinci dari loyang (isian penuh)
= Jika guna oven elektrik, tetapkan api 200 darjah sentigred bahagian bawah sahaja. Ketinggian loyang dari besi bara tu sejengkal (ibu jari dan jari telunjuk).
Kek ini bukannya macam apam. Kalau jadi apam maknanya tak menjadi. Tekstur kek jika dibelah tengah, ianya berlubang seperti span. Jika span cuma jadi bahagian bawah tapi bahagian atas jadi apam, pun kira tak menjadi lagi

Jika sudah mahir, boleh naikkan lagi jumlah bahan sekali ganda seperti berikut
2 cawan gula
2 cawan air panas
setengah cawan marjerin atau minyak sapi

8 biji telur gred B atau 7 biji gred A
setengah tin susu pekat
1 sudu makan vanila

2 cawan tepung gandum
1 sudu makan soda bikarbonat
2 sudu kecil serbuk penaik

di bakar selama 35 minit hingga 45 minit. Bermakna, masa minit 35, kena cek sama ada dah masak belum, bau rentung ke tak. Banyak faktor mempengaruhi. Jika sudah berjaya dan mahir, kekalkan alatan anda itu termasuk ketuhar yang anda guna kerana setiap alat dan ketuhar berbeza-beza jenis dan suhunya.

Masih tidak jadi sarang semut?
1. Masa membakar boleh jadi kurang 5 minit atau lebih 5 minit dari yang dinyatakan di atas.
2. Suhu api boleh jadi kena kuatkan lagi atau kena perlahankan lagi.
3. sukatan di atas ialah sukatan standard mengikut acuan standard, boleh jadi sukatannya berubah jika menggunakan cawan minuman.
4. TERAKHIR: Jika ketuhar elektrik anda bakar kek ini sebanyak 3 kali tidak menjadi, bermakna anda kena tukar ketuhar api kerana ada sesuatu tidak kena pada ketuhar elektrik anda.

No comments:

Post a Comment

Resipi masakan singgah di sini selalu ya